CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, August 6, 2010

BINGKISAN RENUNGAN

RODA KEHIDUPAN

Hidup sesuatu yang mesti, namun mati adalah satu kepastiaan. Permulaan kehidupan adalah pada tangga kosong, namun anda yang akan menentukan di tangga ke berapakah tahap anda. Memang tidak dinafikan, kehidupan banyak diselubungi awan-awan hitam, deruan gelombang-gelombang ombak, keperitan yang tak tertanggung seolah-olah bahangnya umpama matahari tegak di kepala. Namun lupakah anda? Di sebalik awan-awan hitam, deruan gelombang ombak, teriknya bahang mentari akan menghasilkan suratan-suratan yang tersirat, keunikan-keunikan yang tak disangkakan. Awan-awan hitam akan menurunkan mutiara hujan jatuh ke bumi yang akan membekalkan sumber air pada kehidupan, gelombang-gelombang ombak yang akan memudahkan pelayaran kapal-kapal dan perahu nelayan, teriknya bahang mentari memberikan sumber makanan pada tumbuhan dan mampu melancarkan urusan harian manusia. Begitulah analoginya sebuah kehidupan. Kita tidak semestinya sentiasa berada dalam kegembiraan, keseronokan yang berpanjangan dan kebahagiaan yang memanjang, namun setiap kegembiraan, keseronokan dan kebahagiaan pasti akan diuji. Ketika musibah menjengah kamar kehidupan, kita akan merasakan seolah-olah kehidupan adalah tidak adil, seringkali rebah dalam meniti tinta hidup, malah sesetengah tersungkur dalam mencapai dambaan duniawi. Kita mungkin mengeluh, merungut dengan apa yang berlaku, malah akan terdetik “mengapa aku? kenapa tidak orang lain?”


maka pabila diri dalam kegelisahan,
mulalah diri pada langkah keharaman,
mencuba segala macam,
sehingga diri kabur antara halal dan haram.




Wahai hamba-hamba Allah,
Mengapa diri hanyut dibuai dunia,
Mengapa hidup sering bersuka-ria
Lupakah kamu itu sia-sia.

INGATLAH !SEDARLAH ! Bahawasanya ujian yang ditaburkan, cubaan yang melanda dan dugaan yang silih berganti pasti menemui sinarnya. Sesungguhnya Allah S.W.T berhak menguji setiap hambanya dan percayalah bahawa ujian yang diberikan adalah mengikut kemampuan hambanya. Allah S.W.T tidak akan menguji hambanya dengan ujian-ujian yang tidak dapat ditanggung oleh mereka. Segala kesusahan dalam menjalani kehidupan tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk meningkatkan ketaqwaan kepadaNya dan secara tidaK langsung dapat mematangkan diri dalam kehidupan yang penuh gelora kemaksiatan dan kepura-puraan. Sesungguhnya segala ujian adalah salah satu cara menghapuskan dosa seseorang. Janganlah ujian mejadikan satu penyebab diri terjerumus pada langkah keharaman. Fikirkan dan renungkan sebaik-baik setiap musibah, ujian, dugaan yang melanda kerana di sebalik setiap yang berlaku mampu menghasilkan kejayaan yang paling bermakna. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya sentiasa berkeadaan dalam penuh kesabaran dalam mengharungi onak-onak duri perjalanan. Sepertimana firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud:

“sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”(al-Asr:6)


“SABAR” adalah nadi segala kehidupan. Sabar umpama nyawa dalam abdomen.Tanpa nyawa badan tidak berfungsi dan kaku buat selamanya. Begitulah juga dengan kehidupan, tanpa adanya sikap sabar, segalanya akan runtuh walau seteguh kinabalu kekuatan diri, secerdik mana sekalipun manusia tetapi jika miskinnya sikap kesabaran, nescaya kita juga akan kalah dengan hidup, justeru dalam melayari kehidupan yang penuh kemodenan dan ketandusan budi pekerti, marilah sama-sama kita mendidik jiwa dan menghiasi diri dengan kesabaran, kerana dengan sikap sabar, segala musibah yang menimpa dapat ditangani dengan sebaiknya, malah kita akan dapat merasakan kenikmatan hidup dalam mencapai tujuan duniawi dan sekaligus dapat mematangkan diri dalam mencari keberkatan ukhrawi. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy’ari r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


“dan sabar itu cahaya”


Ingatlah bahawa perit hidup yang ditanggung, sakit perjalanan yang dirasa dan luka-luka yang dialami dalam meniti arena kehidupan merupakan satu langkah kaki menuju ke mercu kejayaan. Tanpa kesusahan dan kepayahan hidup, manusia tidak akan menjadi manusia yang bersyukur dan berfikir. Sepertimana kata pujangga “kejayaan adalah hasil daripada kerja kuat, penderitaan, luka, pengorbanan dan kecemasan. Sedangkan kegagalan adalah hasil daripada kemalasan, tidak mempunyai target, perasaan minda dan bersemangat”.


Inilah yang dikatakan RODA KEHIDUPAN. Kehidupan tak akan bermakna tanpa ujian, kehidupan juga tak akan bererti tanpa linangan air mata dan penyesalan. Umpama roda, kita tidak akan sentiasa berada kesenangan pada puncak, tapi dalam edaran masa kita juga akan menuju ke bawah. Dari bawahlah kita akan naik kembali, apa yang penting sepertimana yang dikatakan tadi adalah perlunya kesabaran. Insyaallah suatu hari, segala kekusutan menemui kelancaran, kegelapan akan lenyap diganti dengan cahaya dan pada masa itu anda akan mengatakan “ya allah, hambamu bersyukur dengan segala ujian, sesungguhnya ujian membawa daku ketaqwaan padamu”.


SEKILAS RENUNGAN


Roda kehidupan
Melengkap aturan zaman berzaman
Bermula pada alam kelahiran
Sehinggalah bertemu dengan kematian
Begitulah epilog sebuah kehidupan

Roda kehidupan
Terselit pelbagai aturan
Sehingga manusia terlupa pada kematian
nawaitu mereka pada keduniaan
Lalu harta menjadi dambaan
Terlalai seketika pada tujuan

Inilah putaran roda kehidupan
Kegembiraan akan diselitkan kegagalan
Saat itu kau tersungkur di perhentiaan
Tersedar seketika dikau terpesong dalam perhatiaan

Roda kehidupan
Tak pernah kedekut kemaafan
Kerana Allah maaf pengampunan
Buat dirimu dalam penyesalan

Sekian,wassalam…..